SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI UNIT BIMBINGAN & KAUNSELING, SMK CHERAS

Tuesday 22 May 2012

Kaunseling ISLAM Satu Alternatif Baru di Malaysia


Dalam mengaplikasikan kaunseling moden, terdapat beberapa pendekatan yang digunakan bagi menyelesaikan masalah klien di antaranya kognitif, afektif, psikoanalisis, humanistik dan ketingkahlakuan. Rata-rata teori yang menjadi asas kepada pendekatan ini lebih kepada rasional dan logik. Dalam Islam sekalipun ia tidak menolak hakikat bahawa akal juga merupakan alat untuk menilai sesuatu, tetapi bukan secara total. Kerana ia lebih bersifat subjektif yang boleh dipertikaikan kemampuannya. Akal bersifat terbatas, maka bukan semua perkara boleh dianalisis dengan akal. Justeru wahyu pula merupakan sumber hakiki yang tidak boleh dikesampingkan dalam mencari jawapan kepada permasalahan sejagat. Islam pula yakin selagi manusia tidak berpegang kepada petunjuk wahyu (Al-Quran dan As-Sunnah) mereka tidak akan menemui jalan penyelesaian yang sebenar, jauh pula untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t yang menjadi matlamat hidup insan muslim itu sendiri.


Seorang ahli psikologi, Cribbin merumuskan bahawa bimbingan adalah berpusatkan ke arah klien dan berkaitan dengan perkembangan optimum keseluruhan diri klien serta pencapaian potensi untuk kepentingan individu dan sosial. Menurut Pepensky (1954), kaunseling ditakrifkan sebagai :

"... satu proses membabitkan interaksi antara seorang kaunselor dan klien yang dijalankan secara sulit bagi mengubah tingkah laku klien".

PANDANGAN IMAM AL-GHAZALI TERHADAP TABII MANUSIA

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah swt. yang diciptakan dengan sebaik-baiknya daripada dua unsur material dan spiritual. Unsur material dirujuk kepada jasmani yang terbina dari darah, daging dan tulang. Sementara spiritual pula dirujuk kepada unsur roh, nafsu, hawa dan akal. Manusia juga makhluk yang bertanggungjawab dan diciptakan dengan sifat-sifat Ketuhanan (Asma Ul-Husna) atau Rabani. Imam Al-Ghazali pula menekankan dalam diri manusia terdapat dua sifat iaitu kemalaikatan dan kehaiwanan. Di mana manusia boleh jatuh ke martabat haiwan dan manusia juga boleh mencapai tahap malaikat. Menurutnya lagi, sifat kehaiwanan adalah merujuk kepada dorongan hawa nafsu syaitan kerana fungsi syaitan menjerumuskan anak Adam ke kancah maksiat. Walaubagaimanapun, manusia boleh ke tahap kemalaikatan apabila berjaya dalam perjuangan menentang nafsu syaitan dan tunduk kepada perintah Allah swt sahaja.



PENGALAMAN LEPAS

Pengalaman lepas adalah ditekankan sebagai satu proses pembinaan manusia. Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya :

"Setiap anak dilahirkan berdasarkan fitrahnya, terpulanglah kepada ibu bapa mencoraknya sama ada ingin menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi".
(Bukhari dan Muslim)

CIRI-CIRI PERSONALITI

Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa manusia terpuji ialah manusia yang bersifat benar, ikhlas, bertawakal, pengasih, bersyukur, redha, ingatkan mati dan selalu bertaubat.

Imam Al-Ghazali menekankan bahawa sifat-sifat negatif ialah wujud apabila individu itu memiliki sifat banyak cakap, banyak makan dan tidur, suka marah, bakhil, ujub (riak), takbur dan cintakan dunia.

PANDANGAN IMAM AL-GHAZALI TERHADAP PROSES KAUNSELING

Bagi Imam Al-Ghazali, seseorang kaunselor tidak perlu menyediakan sesuatu jawapan khusus untuk sesuatu permasalahan, atau memaksa mengubah sesuatu tingkah laku yang tertentu sebagai matlamat dalam kaunseling. Sebaliknya kaunselor membantu klien untuk memahami dirinya sendiri, membantu klien berasa lebih terbuka terhadap pengalaman-pengalaman mereka dan dapat menerima orang lain. Justeru Imam Al-Ghazali menganjurkan supaya kaunselor membantu klien melalui beberapa kaedah :

(a) menjadikannya normal supaya mereka kenali diri dan persekitaran mereka
(b) membantu klien menemui cara-cara atau pendekatan yang lebih baik untuk mereka menyelesaikan kerumitan yang dihadapi.

TEKNIK-TEKNIK KAUNSELING IMAM AL-GHAZALI

1. Cara Bijaksana.
2. Nasihat yang baik.
3. Perbincangan yang terbaik.

PENDEKATAN KAUNSELING IMAM AL-GHAZALI
1. Nasihat yang baik.
2. Kaunseling individu yang halus.
3. Kaunseling individu yang kasar.
4. Kaunseling kumpulan

Sumber : Buku Kaunseling Islam - Satu Alternatif Baru di Malaysia
Penulis  : Kamal Abd Manaf