SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI UNIT BIMBINGAN & KAUNSELING, SMK CHERAS

Thursday 7 March 2013

MENGENALI POTENSI DIRI



Kekuatan, diiktiraf sebagai energi yang berkuasa dalam diri. Dengan memiliki kekuatan, kita dapat menakluk diri dan mencapai apa jua impian yang kita idamkan.

“Bagaimana untuk kita mengetahui kekuatan diri?”

Pertama, kesedaran terhadap kekuatan diri itu lebih penting. Apabila kita sedar fungsi kekuatan diri dalam kehidupan seharian, maka kita akan mengelakkan diri daripada membuang masa untuk memperbaiki kelemahan.
Kerana kelemahan itu boleh dipindahkan kepada mereka yang lebih berhak. Manakala kekuatan itu adalah aset diri kita. Manusia yang hebat adalah manusia yang bijak dalam memahami dan menggunakan kekuatan diri dalam kehidupan seharian.

Menggunakan kekuatan diri dalam kehidupan seharian adalah kunci kebahagiaan. Apabila kita menggunakan kekuatan, masa yang berlalu itu terlalu sekejap rasanya. Misalnya, manusia yang mempunyai kekuatan diri untuk menulis beribu-ribu patah perkataan, tidak akan jemu untuk terus menulis.

Begitu hebat impaknya apabila kita mengenali kekuatan diri. Justeru itu, artikel ini akan menghimpunkan kajian dan pengalaman untuk kita mengenal pasti, unsur-unsur yang dapat membawa kita kepada nikmat kebahagiaan dalam kehidupan iaitu;

Mengenali kekuatan dan potensi diri sendiri.

3 Perkara Asas Untuk Mengenali Kekuatan dan Potensi Diri
Steve Pavlina, penulis blog yang terkenal dalam bidang motivasi dalaman menyatakan, terdapat 3 perkara asas yang boleh kita gunakan, untuk mengenali kekuatan dan potensi diri iaitu:
1.      Apa yang kita suka lakukan?
2.      Apa yang kita suka baca?
3.      Keadaan sekeliling yang memotivasikan diri.


#1 – Apa yang Kita Suka Lakukan?
Apabila kita mempunyai masa lapang, apakah perkara yang akan kita lakukan? Aktiviti ini biasanya adalah kekuatan diri yang kita tidak sedari. Kerana ia bersifat natural. Dalam psikologi manusia, kita jarang-jarang sedar tentang perkara yang kita lakukan secara tidak sengaja.
Sebagai contoh, saya seorang yang suka menulis mengenai buku-buku atau artikel yang saya baca ketika punya masa lapang. Aktiviti menulis ini boleh dikatakan sebagai salah satu kekuatan dan potensi yang ada dalam diri.
Setiap manusia mempunyai aktiviti yang berbeza ketika masa lapang. Ia boleh digunakan untuk mengetahui kekuatan diri kita yang tersembunyi.

#2 – Apa yang Kita Suka Baca?
Lihat kembali modal bacaan kita. Adakah kita banyak melaburkan duit untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan masakan? Menurut kajian, buku yang kita beli mencerminkan kemampuan diri kita.
Pernahkah kita menghadapi situasi seronok membaca buku yang dibeli? Adakah ketika itu kita tidak rasa dipaksa untuk membeli buku itu?
Apabila situasi ini berlaku pada diri, maka itu merupakan petunjuk di mana kita mempunyai kekuatan dalam buku yang kita baca. Contohnya, seorang yang membaca buku memasak kekuatannya cenderung kepada masakan, atau menginovasikan idea masakan mengikut acuan sendiri.

#3 – Keadaan Sekeliling yang Memotivasikan Diri
Situasi ini berlaku pada diri saya sendiri. Apabila saya melihat paparan iklan, artikel atau apa-apa material yang berkaitan dengan tip penulisan (seminar / bengkel / dan sebagainya), saya akan rasa seronok dan ingin menghadirinya.
Situasi yang memotivasikan kita dapat menonjolkan kekuatan diri. Apabila kita berminat untuk menghadiri seminar penulisan, ini bermakna kita mempunyai kekuatan untuk menjadi seorang penulis.

Justeru itu, lihat pada situasi atau momen yang meledakkan estim diri. Dari situ, kita dapat kenal pasti kekuatan diri sendiri.