SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI UNIT BIMBINGAN & KAUNSELING, SMK CHERAS

Monday 6 August 2012

PRINSIP KEJAYAAN

Kita bertuah dan bersyukur kerana dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Cukup sifat dan dapat melalui kehidupan yang bahagia. Sebaliknya ada orang dilahirkan dengan tubuh badan yang kurang sempurna. Kita kategorikan mereka ini sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Namun ada kalanya kita memberi tafsiran yang salah tentang OKU.

Walaupun tidak cukup sifat-sifat fizikal, ada antara mereka yang sangat berjaya dalam hidup, akademik dan bisnes.

Kejayaan yang dikecapi adalah kerana mereka memiliki prinsip diri yang hebat, bertenaga dan mampu merangsang fikiran dan spiritual untuk tabah menghadapi cabaran. Jika OKU mampu berjaya dalam hidup, kenapa orang yang sempurna fizikal memberi banyak alasan dan mengalah apabila berhadapan dengan cabaran?

Inilah yang kita perlu fikirkan.

Cikgu tertarik dengan prinsip yang diada pada Steve Jobs pengasas Apple Product.
Ringkasnya, prinsip-prinsip yang menjayakan mereka semua, khususnya Steve Jobs ialah:
  1. Buatlah apa yang anda suka. Seseorang tidak dapat menghasilkan sesuatu melainkan orang itu menginspirasikan dirinya sendiri, demikian pendapat Steve Jobs. Katanya, "People with passion can change the world for the better". Bahkan katanya, "Kehidupan ini terlalu pendek untuk hidup di bawah impian seseorang". Justeru jika anda masih belum menemui apa yang anda suka, teruskan mencari dan jangan berdiam diri".
  2. Berikan impak kepada dunia. Ini berhubungan dengan seseorang yang mempunyai visi yang besar. Maknanya kita boleh melihat apa yang hendak dicapai dalam puluhan tahun akan datang. Dalam hal ini kita harus mengemukakan cabaran-cabaran yang positif supaya kita bersemangat melakukan inovasi. Inilah yang menghasilkan Macintosh, Apple dan akhirnya iPad.
  3. Hubungkan benda-benda (perkara-perkara) yang mencetuskan kreativiti. Katanya, "Kreativiti hanyalah menghubungkan benda-benda itu". Maksudnya orang yang mempunyai pengalaman yang luas kerapkali dapat melihat perkara-perkara yang orang lain lupa atau tertinggal. Inilah yang berlaku kepada Steve yang pada mulanya meminati kaligrafi, tetapi akhirnya membawa kepada penghasilan komputer pertama,  Macintosh.
  4. Bersedia mengatakan "Tidak" terhadap seribu perkara. Kata steve, "Inovasi terhasil daripada mengatakan TIDAK kepada seribu perkara.
  5. Hasilkan pelbagai pengalaman baru dengan gila-gila. Syarikat Apple sendiri pada hakikatnya tidak menumpukan kepada penghasilan satu produk sahaja. Hasilkan apa saja yang bermakna kepada kehidupan. Contohnya ialah sebuah stor Apple yang diinspirasikan oleh Steve Job telah menarik 17,000 pelanggan sehari dan menyumbangkan pendapatan terbesar bagi setiap inci luasnya. Stor itu dikatakan membantu memperkayakan (pengalaman) kehidupan semua yang melawatnya.
  6. Kuasai pesanan. Anda mempunyai seribu idea, dan meskipun anda tidak dapat menyampaikan idea-idea itu dengan berkesan, jangan kisahkan sangat. Teruskan sampaikan informasi, beri didikan, ilhamkan dan hiburkan sebagaimana yang dibuat oleh Steve di dalam satu sesi penerangan. Ini merupakan teknik komunikasi yang digunakan oleh CEO Apple, Steve Jobs. Jelasnya, berfikirlah secara visual. Gunakan kedua-duanya, iaitu perkataan dan gambaran untuk menyampaikan maklumat dengan cara paling berkesan.
  7. Akhir sekali, jual impian, bukan produk. Ramai pengguna tidak kisah sangat mengenai produk kamu, tetapi mereka sangat kisahkan diri mereka, harapan, dan cita-cita mereka. Steve mengajar kita bahawa jika kita membantu pengguna mencapai impian mereka, maka kita akan berjaya memenangi hati mereka.