Setelah anda fikirkan tentang kemampuan anda bersaing, anda akan nampak apa persediaan yang anda perlu lakukan mulai sekarang. Saya akan bincangkan mengenai kemahiran-kemahiran yang anda boleh perolehi semasa anda masih bergelar seorang pelajar.
Hari ini, mari kita bercakap tentang kemahiran yang anda sedia ada. Kaji diri anda. Apakah kemahiran atau kekuatan anda yang sedia ada? Apakah perkara yang anda dapat lakukan dengan baik?
Contohnya, anda mungkin pandai berkawan. Ramai pelajar suka berkawan dengan anda. Malah, anda boleh bergaul dengan mana-mana pelajar sekalipun sama ada mereka ini pelajar cemerlang, tidak cemerlang, pendiam, peramah, pemalu dan kaki buli sekalipun. Pandai berkawan adalah satu kemahiran. Jika anda tidak tahu kemahiran apa yang anda ingin kuasai sewaktu belajar, saya akan cadangkan anda belajar kemahiran berkawan.
Ini kerana, jika anda pandai berkawan, anda boleh menyesuaikan diri anda di mana sahaja anda berada nanti. Bukan itu sahaja, kawan yang baik adalah satu faktor penting dalam mencapai kejayaan. Lihat disekeliling anda. Lihat pada kawan-kawan anda tidak kira anda rapat dengan mereka atau tidak.
Sumber: Osman Affan